Tuesday, March 4, 2008

Televisyen & kanak-kanak


Tabiat buruk anak sulung saya, Syed Luqman yang berusia 2 tahun 9 bulan yang masih tidak dapat dibendung ialah kegemarannya menonton televisyen secara berlebihan.

Kadangkala kelihatan seperti dia sudah ketagihan dengan televisyen, terutamanya dengan rancangan-rancangan kegemarannya di siaran PHDC (Playhouse Disney Channel). Antara kartun kegemarannya adalah 'Thomas & his friends', 'Clifford' dan 'Make Way For Noddy'.

Waktu menonton televisyennya akan bermula dari pukul:

9.30 malam: Thomas & his friends
10.00 malam: Sagwa The Cat
10.30 malam: Make Way For Noddy
11.00 malam: Clifford

Saya: Luqman, jom masuk tidur, sayang dah pukul 11 malam ni, dah lewat dah
Luqman: Sekejapla, nak tengok cerita anjing dulu..
Saya: Luqman kan dah tengok TV lama dah, jomlah tidur pulak
Luqman: Nak tengok cerita anjinglah..tak mahu tidur
Beginilah dialog antara saya dan anak saya setiap hari

Jadi, hari ini saya ada membuat sedikit bacaan tentang kesan televisyen terhadap kanak-kanak.

Menurut kajian yang dibuat oleh American Academy of Pediatrics (AAP), kanak-kanak di US (United States) menonton televisyen sebanyak 4 jam sehari - walaupun menurut Buku Panduan AAP (AAP guidelines), kanak-kanak berumur melebihi 2 tahun tidak boleh menonton televisyen lebih dari 1 hingga 2 jam sehari

Menurut buku panduan itu juga, kanak-kanak berumur kurang dari 2 tahun tidak boleh menonton skrin langsung (TV, DVD atau videotapes, computers, dan video games) . Ini kerana, tempoh 2 tahun pertama, adalah tempoh yang paling kritikal dalam perkembangan otak kanak-kanak.
TV boleh mengganggu proses pembelajaran, masa bermain dan masa untuk mereka berinteraksi dengan ibu bapa serta persekitarannya. Sedangkan pada masa bermain itulah, kanak-kanak mengembangkan kemahiran dan pengetahuannya untuk membesar secara sihat dari segi kognitif(pemikiran), fizikal, sosial dan emosi.

Menonton televisyen dengan kadar yang sederhana adalah baik. Kanak-kanak peringkat tadika boleh belajar mengenal huruf-huruf alphabet , kanak-kanak sekolah rendah boleh belajar mengenai hidupan liar dalam rancangan bercorak dokumentari, ibu bapa boleh mengikuti perkembangan semasa melalui rancangan berita.
TV merupakan alat yang boleh mendidik dan menghiburkan, tiada keraguan tentang itu. Namun begitu, menonton TV secara berlebihan boleh memudaratkan.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menonton TV lebih dari 4 jam sehari lebih cenderung untuk mendapat masalah berat badan yang berlebihan (overweight)

Kanak-kanak yang menonton rancangan-rancangan bercorak ganas, seperti penculikan, pembunuhan atau pembunuhan, cenderung untuk mempercayai bahawa dunia ini adalah suatu tempat yang menakutkan, dan sesuatu yang buruk akan menimpa diri mereka.

Kajian juga menunjukkan bahawa TV seringkali menekankan tentang peranan jantina dan ciri stereotype perkauman.

Oleh itu, sangat penting bagi para ibu bapa untuk mengawasi kandungan program TV dan menghadkan jangkamasa yang tertentu untuk menonton TV. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa anak-anak mempunyai masa untuk membuat aktiviti lain seperti bermain bersama rakan-rakan, bersenam dan membaca

Tips Tabiat Menonton TV Yang Sihat Bersama Anak-anak

1. Hadkan masa menonton TV

2. Penuhkan ruang menonton TV dengan bahan-bahan seperti buku, majalah kanak-kanak, permainan, puzzles, board games, dan sebagainya. Ini akan menggalakkan anak anda melakukan sesuatu yang lain selain daripada menonton TV

3. Pastikan TV tidak berada di dalam bilik anak anda

4. Pastikan TV ditutup ketika waktu makan

5. Jangan membenarkan anak menonton TV ketika melakukan kerja rumah

6. Jadikan TV sebagai suatu ganjaran yang perlu diperolehi-bukan sebagai hak yang berhak untuk didapati. Beritahu anak anda bahawa mereka boleh menonton TV hanya setelah semua kerja rumah dan kewajipan yang lainnya disiapkan dan dilaksanakan.

7. Cubalah mengharamkan TV pada hari-hari biasa. Kerja sekolah, aktiviti bersukan dan tanggungjawab kerja menjadikan waktu bersama keluarga sukar untuk ditemui. Rekodkan rancangan TV yang disiarkan pada hari-hari biasa untuk ditonton semula pada hujung minggu. Atau jadikanlah agenda menonton TV sebagai agenda di hari minggu sahaja. Anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga seperti ketika makan, melakukan aktiviti-aktiviti fizikal atau membaca di sepanjang minggu.

8. Tunjukkanlah contoh yang baik, dengan menghadkan masa anda sendiri menonton TV

9. Periksalah senarai rancangan TV dan kandungan programnya sebelum anda sekeluarga menonton rancangan tersebut. Pilihlah rancangan yang sesuai untuk perkembangan anak-anak dan rancangan yang tidak berunsur ganas yang menekankan tentang isu dan nilai kekeluargaan. Rancangan yang menimbulkan minat untuk belajar, yang mencungkil hobi/bakat seperti membaca, sains, dan lain-lain juga amat bagus untuk ditonton bersama

10. Periksa dahulu program yang akan ditonton oleh anak anda sebelum mereka menontonnya.

11. Buatlah satu jadual menonton TV yang dipersetujui oleh semua, pada setiap minggu. Kemudian, tampalkan jadual tersebut di tempat yang mudah dilihat seperti di pintu peti sejuk ataupun tempat-tempat lain di dalam rumah, supaya semua orang mengetahui apakah rancangan-rancangan TV yang boleh dilihat dan masa yang dibenarkan untuk menontonnya. Pastikan TV ditutup setelah rancangan yang ingin ditonton tamat. Elakkan daripada mencari-cari siaran sehingga menemui rancangan yang menepati selera anda atau anak anda.

12. Tontonlah TV bersama anak anda. Jika anda tidak boleh duduk bersama untuk keseluruhan program, duduklah sekurang-kurangnya untuk beberapa minit yang pertama untuk melihat kesesuaian program tersebut dan pantaulah dari jauh.

13. Bercakaplah dengan anak anda tentang apa yang dilihat di kaca TV dan berkongsilah dengannya mengenai nilai dan kepercayaan anda. Jika sesuatu yang anda tidak persetujui ditontonkan di kaca TV, anda boleh menutup TV tersebut dan gunakan peluang itu untuk bertanya anak anda soalan yang mencabar pemikirannya, seperti,

" Rasanya baik ke, bila orang-orang tu bergaduh? Apa lagi yang mereka harus buat? Apa yang kamu akan lakukan?". Atau,

"Apa pendapat kamu tentang remaja-remaja yang berkelakuan seperti itu ? Adakah kamu rasa mereka melakukan perkara yang salah?"

14. Jika terdapat karakter atau watak yang dibuli, atau menjadi mangsa diskriminasi, beritahulah padanya tentang pentingnya meleyan semua orang dengan sama rata dan tidak berat sebelah, walaupun mereka berbeza.

15. Anda juga boleh menggunakan TV untuk menjelaskan situasi yang mengelirukan atau kompleks, serta menerangkan pendirian anda terhadap isu-isu yang sukar seperti seks, cinta, dadah, alkohol, rokok, kerja, perlakuan manusia dan kekeluargaan

16. Ajar dan didiklah anak anda untuk bertanya dan belajar daripada apa yang mereka tonton di kaca TV

17. Berbincanglah dengan ibu bapa yang lain, doktor kepada anak anda dan guru kepada anak anda tentang polisi menonton TV anak-anak dan rancangan-rancangan TV yang disyorkan oleh mereka.

18. Tawarkanlah pilihan yang lebih menarik kepada anak anda daripada menonton TV. Ajaklah dia bermain board game, bermain sembunyi-sembunyi, bermain di luar rumah, membaca, membuat kraftangan, ataupun mendengar muzik dan menari.

Banyak lagi perkara-perkara menarik yang boleh dilakukan tanpa menonton TV. Oleh itu, tutuplah TV dan nikmatilah masa yang berharga dengan anak anda.


---------------------------------------------------------------------------------

Rujukan:

(1) How TV Affect Your Child, Oleh Mary L. Gavin, MD Steve Dowshen, MD (http://www.kidshealth.org/)

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum.

Saya juga telah membuat posting petikan dari SM Mohamed Idris (Presiden CAP) di blog saya seperti link berikut: http://bloggingresource.abufaris.com/tv/menonton-tv-tidak-membantu-pelajar-merendahkan-prestasi-akademik.html