Wednesday, March 5, 2008

Anak-anak adalah cahaya mata


Anak ke-2 saya, Syed Iqbal, kini berusia 4 bulan. Alhamdulillah, dia semakin membesar dengan sihat. Walaupun kadangkala dibuli oleh abangnya yang 'overprotective', namun dia tetap ceria. Kadangkala sahaja perangainya menjadi over manja, iaitu apabila lapar, mengantuk, lampin basah, tidak sedap badan dan keseorangan. Melihatkan wajah comelnya sahaja membuatkan hati saya terasa tenang, damai dan bahagia.

Anak-anak adalah Qurratu a'yun iaitu penyejuk mata (dalam bahasa arab). Ketika saya sedang dalam keadaan tertekan, contohnya ketika berada di dalam dewan peperiksaan baru-baru ini, menduduki peperiksaan MRCP UK ( Ia adalah suatu peperiksaan standard yang berpusat di UK, untuk menilai samada seseorang doktor itu layak menjadi doktor pakar atau tidak). Pada saat yang sungguh getir itu, ketika sedang menunggu kertas soalan diserahkan kepada para calon, peluh sejuk mula memercik keluar dari tubuh.

Pada ketika itulah saya memejamkan mata dan membayangkan wajah-wajah comel mereka. Terngiang-ngiang di telinga saya, suara manja mereka memanggil : "Ummi! Ummi!". Sungguh indah dan tidak tergambar rasanya perasaan saya pada waktu itu. Lebih indah daripada suasana ketika melihat matahari terbenam di ufuk timur. Lebih nyaman daripada hembusan semilir bayu timur laut. Alhamdulillah, ketenangan yang dikecapi itu membolehkan saya menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan lulus dalam peperiksaan tersebut.

Begitulah anugerah dari Allah Ar-Rahman, Yang Maha Pengasih. Dengan sifat pengasihnya itu, Dia menganugerahkan perasaan rahman ini kepada semua ibu. Sebab itulah kita sering mendengar ungkapan: "Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak tidak boleh menjaga seorang ibu".

Doa kita pada hari ini:
"Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina, qurrata a'yunin, waj'alna lilmuttaqina imama"
Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami, pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang bertaqwa

Mesej untuk dibawa pulang pada hari ini:
Sayangi anak anda & Kasihi ibu anda

Selamat berkasih sayang!


No comments: